PARAMESWARA
Profil Ringkas
Nama : Sultan Iskandar Syah
Nama sebelum Islam: ParameswaraTahun lahir: 1344Tahun meninggal: 1424 (80 tahun)Sumbangan: bekas putera Srivijaya di Palembang (Indonesia), bekas pemerintah Temasik (Singapura), pengasas kerajaan Melaka dan Sultan Melaka pertama.
KETIKA mengenang kembali sejarah lampau, Parameswara mungkin menyedari bahawa kegagalan pada satu episod pengalaman bukanlah pengakhiran kepada sebuah drama kehidupan.
Betapa tidak, Kerajaan Srivijaya warisan keluarganya yang diasaskan sebegitu lama akhirnya diserang dan dirampas Kerajaan Majapahit sekitar abad ke-14.
Negeri tanah tumpah darahnya di Palembang, Sumatera dijajah kuasa besar berkenaan menyebabkan daripada golongan aristokrat, putera raja itu menjadi pelarian ke Temasik (Singapura).
Episod duka mungkin menemani jalan hidupnya sejak kejadian rampasan kuasa itu berlaku. Mujur saja pelariannya diterima baik di Temasik yang ketika itu berada di bawah naungan Siam.
Di Temasik, Parameswara mungkin menyedari bahawa usahanya untuk menawan kembali Palembang dan membela negeri watannya itu tidak mungkin menjadi kenyataan. Majapahit satu kuasa besar di Nusantara ketika itu, mana mungkin dia mampu mengalahkan kerajaan gergasi berkenaan.
Bagaimanapun, sebagai seorang yang bercita-cita besar dan bijak bermain catur politik, Parameswara enggan mengalah dengan babak kejatuhan kerajaan keluarganya serta meneruskan hidup penuh kekesalan sebagai rakyat kebanyakan.
Dia mula merancang strategi. Kegemilangan Srivijaya yang sudah lama diliputi kesuraman sejak serangan kerajaan Colamandala, India pada abad ke-11 seterusnya musnah akibat serbuan Majapahit ingin dikembalikan putera itu.
Peluang berlindung di Temasik menyebabkan dia mengkaji kemungkinan kedudukan pulau itu sesuai menjadi pusat pentadbiran baru Srivijaya.
Temasik memang memiliki kedudukan strategik – berada di tengah laluan antara lautan Barat dan lautan Timur, kawasan itu berpotensi berkembang maju. Kemudian dia cuba menuntut kembali hak pertuanannya ke atas Temasik dengan alasan pulau itu pernah berada di bawah jajahan Srivijaya sebelum ditakluk Siam.
Konflik mula tercetus antara dirinya dengan pemerintah Temasik ketika itu iaitu Temagi. Tanpa titik persetujuan, persengketaan berterusan sehingga diakhiri dengan pembunuhan ke atas Temagi.
Ketiadaan pemimpin selepas kematian Temagi menyebabkan Parameswara menjadi pemerintah Temasik untuk seketika. Bagaimanapun, hasratnya untuk mengembalikan kegemilangan Srivijaya dengan menjadikan Temasik sebagai pusat pemerintahan berjaya dihidu musuh ketat.
Kerajaan Siam yang berang dengan kematian Temagi mula mengatur rancangan pembalasan manakala Kerajaan Majapahit yang sudah lama memburu Parameswara mula mencatur serangan besar-besaran.
Rancangan besar musuh ketat daripada dua penjuru itu menyebabkan Parameswara mula memikirkan bahawa dirinya tidak lagi selamat untuk memerintah Temasik. Bersama sekumpulan Orang Laut, dia meninggalkan pulau itu dan berundur ke Muar.
Beberapa ketika di Muar, dia dan pengikutnya meneruskan perjalanan ke Sungai Ujong dan Bertam serta terus menghala ke Utara sehinggalah mereka tiba di sebuah perkampungan nelayan yang penduduknya terdiri daripada Orang Melayu, Orang Laut dan Orang Asli.
Ketika berada di kawasan itulah diceritakan bahawa kisah terkenal mengenai kewujudan Melaka berlaku. Menurut teks ‘Sejarah Melayu’, ketika Parameswara berehat di bawah sebatang pokok, dia melihat suatu situasi aneh dan luar biasa.
Anjing buruannya kalah ditendang seekor pelanduk. Kejadian menghairankan itu benar-benar membuntukan akal logiknya. Masakan pelanduk kecil mampu mengalahkan seekor anjing buruan?
Melihat kejadian luar biasa itu menimbulkan satu kesedaran terhadap dirinya. Dia memikirkan bahawa kejadian itu adalah petanda mengenai ‘kehebatan’ kawasan berkenaan. Di benak mindanya mula memikirkan bahawa perkampungan nelayan itu mampu menjadi kuasa besar.
Kawasan itu lebih strategik dari Temasik. Kedudukannya yang hampir dengan laut memudahkan kapal dagang berlabuh untuk mendapatkan bekalan air bersih. Bentuk muka bumi yang berbukit boleh dijadikan petunjuk bagi pelayar dan memudahkan urusan mengawal Selat Melaka.
Lebih penting adalah angin monsun tidak mengganggu kegiatan perdagangan kerana muara sungainya terlindung daripada tiupan angin berkenaan. Pokok bakau dan api-api yang banyak terdapat di sekitar pula boleh dijadikan benteng pertahanan semula jadi daripada serangan musuh.
Lalu dia memutuskan untuk membangunkan sebuah kerajaan di situ. Ketika memikirkan mengenai nama kerajaan dan tempat yang ingin dibangunkannya, dia bertanya kepada seorang pengikutnya.
“Pohon apakah ini?” begitulah kemungkinan soalannya sambil merujuk kepada pokok yang disandar olehnya ketika itu.
“Pohon ini bernama Melaka, tuanku.”
“Baiklah, beta namakan tempat ini sebagai Melaka,” katanya dan bermula daripada peristiwa sekitar tahun 1400 itulah, sebuah kerajaan dinamakan Melaka mula wujud. Daripada perkampungan nelayan, kebijaksanaan Parameswara memerintah kawasan itu menukarkannya menjadi sebuah kerajaan gemilang sehingga terkenal di peringkat antarabangsa.
Sistem pemerintahan teratur dalam kerajaan mula disusun Parameswara; kemudahan pelabuhan yang membekal air bersih, makanan dan khidmat membaiki kapal dititikberatkan; hubungan diplomatik dengan kuasa lain seperti Siam dan China diusahakan dan bantuan Orang Laut untuk menjaga keselamatan perairan Melaka diberi sepenuh perhatian.
Hasilnya, kuasa asing mula singgah di situ, tidak saja untuk mendapatkan bekalan air bersih tetapi untuk menjalankan perdagangan. Pedagang Arab memanggil Melaka dengan nama ‘Mulaqah’ yang bermaksud pertemuan selain ‘Malakat’ iaitu perhimpunan segala dagang.
Selain China dan Siam, Melaka memiliki hubungan diplomatik dengan Gujerat (India), Ryukyu (Jepun), Tanah Arab dan kawasan berhampiran.
Pada usianya menjangkau 70 tahun, Parameswara memeluk Islam selepas berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda menukarkan namanya kepada Sultan Iskandar Shah. Sultan Iskandar Syah wafat pada usianya 80 tahun, ketika kegemilangan Melaka semakin bersinar dan menjadi sebuah kuasa besar.
Sebelum kemangkatannya, Parameswara mungkin boleh tersenyum bangga kerana hasratnya untuk mengembalikan kegemilangan Srivijaya sudah tercapai. Hanya membezakannya, kerajaan itu tidak lagi bernama Srivijaya, tetapi digelar Melaka yang turut terkenal sebagai Kerajaan Islam.
HANG TUAH DAN HANG JEBAT
HANG TUAH DAN HANG JEBAT
Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511 A.D. )[1] Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.
Hang Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka. Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato’ Bendahara (iaitu Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamok. Dato’ Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka utk bertugas di istana.
Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan hinggalah Hang Tuah mendapat gelar Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari. Dalam pertarungan itu Taming Sari, seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.
Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk menjadikan permaisuri Sultan Melaka. Siapakah wanita yang bernama Tun Teja ini. Seliau adalah anak kepada Bendahara Pahang pada ketika itu. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu. Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan Melor yang telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka.
Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Hang Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu), bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Tidak ada pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat (ataupun Hang Kasturi) yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya.
Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu baginda baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan membunuhnya.
Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang Jebat telah cuba membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata, kesilapan Hang Tuah yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dari sultan dan memang tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan kebenaran. Tragedi ini masih menjadi perbalahan orang melayu sampai sekarang.
Namun begitu, ada juga yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana Hang Jebat bukan saja derhaka kepada sultan bahkan telah membunuh ramai orang/rakyat Melaka yang tidak berdosa dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka. Tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat mungkin satu tindakan yang berupa hukuman mati terhadap pembunuh. Sumpahan yang terkenal daripada Hang Tuah ialah “Tak Melayu hilang di dunia” yang bererti suku Melayu tidak akan punah di bumi ini.
Fakta-Fakta Menarik Tentang Hang Tuah.
Menurut 1 kajian Hang Tuah 5 bersaudara bukannya berbangsa melayu,tetapi berbangsa cina dan berketurunan dari rombongan Puteri Hang Li Poh dan pengikutnya yang seramai 500 orang ke Melaka suatu ketika dahulu. Nama cina mereka ialah Hang Tuah berbunyi Hang Too Ah. Nama Hang Jebat berbunyi Hang Jee Fatt, Hang Lekir pula seperti Hang Lee Ker, manakala Hang Lekiu seperti Hang Lee Kiew. Hanya Hang Kasturi sahaja yang dikatakan berbangsa melayu pangkal nama Hang oleh kasturi adalah kerana beliau selalu bergaul rapat dengan anak cucu dari rombongan puteri Hang Li Po dan digelar Hang Kasturi.
Perigi Hang Tuah